Ada satu jenis kesunyian yang hanya dikenali oleh mereka yang bekerja jauh selepas seluruh dunia tidur, kesunyian yang bukan kosong, tetapi penuh dengan bunyi bunyi halus, degupan jantung sendiri, bunyi kekunci papan taip yang ditekan perlahan seolah olah takut mengganggu watak watak yang sedang membina nasib mereka di dalam skrin. Malam tadi, dan malam malam seterusnya aku telah dan akan berada lagi di dalam kesunyian itu, menyunting bab demi bab daripada Kurniaan Sumpahan Kosmik, buku ketiga dalam trilogi Bayangan Langkasura, dan sejujurnya, ada sesuatu tentang buku ketiga ini yang membuatkan aku sendiri berhenti sejenak, jari tergantung di atas papan kekunci, hanya untuk merasakan beratnya apa yang telah aku tulis.
Buku ketiga ini membawa kau kepada sudut pandang yang baharu sepenuhnya, seorang Strategos daripada Dinasti Qiusheng, seorang wanita yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu yang jauh melebihi kemampuan mana mana manusia biasa untuk ditanggung seorang diri, sesuatu yang telah diaktifkan, sesuatu yang kini tidak boleh dipadamkan semula.
Bab Dua ini bertajuk Konvoi Qianlong, dan ia bermula dengan sesuatu yang kelihatan tenang di permukaan, sebuah kapal pengangkut bergerak perlahan melalui laluan sempit di antara dua rantaian asteroid, dikawal ketat oleh kapal kapal pengiring, membawa muatan paling penting daripada kesemuanya, serpihan yang digali daripada tapak Qianlong, runtuhan purba di pinggir wilayah paling jauh yang telah lama disyaki menyimpan struktur berkaitan dengan sesuatu yang kini dipanggil Nadi Langkasura. Aku tidak akan beritahu kau apa sebenarnya Nadi Langkasura itu, kerana sebahagian daripada kengerian buku ini terletak pada bagaimana perlahan lahannya kebenaran itu tersingkap, seperti kain hitam yang ditarik sedikit demi sedikit daripada sesuatu yang sepatutnya tidak pernah dilihat mata manusia.
Dua minggu telah berlalu sejak malam pengaktifan ZhenLing, dua minggu yang penuh dengan laporan yang tidak pernah berhenti, mesyuarat yang tidak pernah cukup, dan tidur yang semakin sukar didapatkan dengan nyenyak, seperti seseorang yang telah membuka pintu yang sepatutnya kekal berkunci, dan kini terpaksa berjaga sepanjang malam menjaga apa yang mungkin cuba menyelinap keluar daripadanya. Watak utama kita berdiri di geladak pemerhatian kapal, memandang ke luar tingkap kaca tebal ke arah kelompok batu gelap yang berputar perlahan dalam kegelapan angkasa, setiap satunya berpotensi menyembunyikan apa sahaja, atau siapa sahaja, di sebalik sisi gelapnya, dan aku beritahu kau, dalam dunia yang aku bina ini, kegelapan itu tidak pernah kosong seperti yang disangka.
Ini adalah bab yang aku bina dengan sengaja untuk terurai secara perlahan, menahan diri daripada tergesa gesa, kerana ketegangan yang sebenar bukan datang daripada letupan atau pertempuran, tetapi daripada kesedaran perlahan lahan bahawa sesuatu di dalam kegelapan itu sedang menghampiri, sesuatu yang tandatangan tenaganya bukan meteor, bukan puing, tetapi kapal, dan kapal yang muncul di tempat yang sepatutnya kosong, jauh daripada mana mana laluan perdagangan, hampir tidak pernah membawa berita baik.
Menyunting buku ketiga ini, aku terpaksa berhenti beberapa kali, bukan kerana ayat yang tidak kena, tetapi kerana aku sendiri, sebagai penulis yang telah membina dunia ini bertahun tahun, masih terasa sejuk yang menjalar di tengkuk apabila membaca semula bahagian bahagian tertentu, seperti seseorang yang menyalakan lampu suluh ke dalam gua yang dia sendiri gali, dan mendapati sesuatu di dalamnya menyala balik memandangnya.
Buku ketiga ini adalah kemuncak pertama bagi perjalanan Saga Takhta Langit, penutup kepada trilogi Bayangan Langkasura, sebelum kita melangkah masuk ke trilogi yang lebih berat, lebih menggerunkan, dalam saga yang telah aku bina sejak 1999. Aku tidak akan beritahu kau ke mana Konvoi Qianlong ini membawa kita, kerana beberapa perkara sepatutnya hanya ditemui sendiri, di dalam gelap, dengan hati yang berdegup lebih pantas berbanding yang kau sedari.
Nantikan Kurniaan Sumpahan Kosmik, apabila sampai masanya
Arasis Yang Menulis
#SagaTakhtaLangit #bayanganlangkasura #KurniaanSumpahanKosmik #KonvoiQianlong #spaceopera #cosmichorror #novelmelayu


Comments
Post a Comment